Nice video for sexual harrassment ! :D
PengenalanGangguan seksual merupakan masalah sosial yang melanggar etika, integriti dan moral. Menurut Noresah Baharom (2010), gangguan seksual boleh ditakrifkan sebagai perlakuan yang kurang disenangi melalui kata- kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang biasanya dilakukan berulang- ulang. Manakala, Ahmad Shamsul Abd Aziz (2005), mendefinisikan gangguan seksual sebagai perbuatan yang tidak digemari sama ada melalui pebuatan, perlakuan serta pertuturan yang berunsur seks yang tidak digemari. Selain itu, Fonny Hutangalung & Zahari Ishak (1999), menyatakan bahawa gangguan seksual juga merupakan diskriminasi berasaskan gender yang melibatkan tingkah laku berunsurkan seksual yang tidak diingini oleh mangsa di tempat kerja.
Gangguan seksual dalam sektor pekerjaan: Contoh kes
Kes Jennico Associates Sdn. Bhd. v. Liliall Therera De Costa yang merupakan kes gangguan seksual yang membabitkan organisasi di petik daripada Rohani Abdul Rahim (2000). Dalam kes ini, De Costa telah mendakwa mengalami dua kali gangguan seksual daripada majikannya secara sentuhan (molestation), lisan dan mencari kesalahannya. Kesannya, dia telah dipaksa untuk berhenti daripada jawatannya sebagai Pengarah Operasi. Berdasarkan keterangan yang diberi, Mahkamah Industri memutuskan bahawa telah berlaku gangguan seksual dan kegagalan majikan dalam menjalankan kewajipannya untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat. Seterusnya, kegagalan ini memyebabkan maruah, harga diri pekerja dengan mudah dicabuli oleh pekerja lain.
Seterusnya, kes gangguan seksual ke atas Mas Anum Samiran yang merupakan seorang pembantu peribadi. Kes ini dipetik daripada Akhbar Utusan bertarikh 29 Ogos 2012. Menurut kes ini, Mas Anum Samiran membuat dakwaan terhadap majikan yang melakukan beberapa siri gangguan seksual terhadapnya iaitu dengan memegang tangan, menyentuh pipi, bermain mata terhadap mangsa sambil menjilat bibir dan merenung payudaranya. Selain itu, mangsa mendakwa majikannya memberitahu ia mahu memeluk dan menciumnya. Majikannya juga menyalahgunakan kuasa dalam memaksa si mangsa melayani perbuatan seksual dan apabila ditolak, majikannya menafikan faedah pekerjaan yang sepatutnya diterima mangsa.
Seterusnya, kes Melewar Corporation lwn Abu Osman (1994) dipetik daripada Ahmad Shamsul Abd Aziz (2005). Dalam kes ini, pihak yang melakukan gangguan seksual diturunkan pangkat dari pengurus kumpulan sumber manusia kepada jawatan penolong pengurus selepas siasatan dalam yang mendapati bahawa dia bersalah datas tuduhan mencabul secara fizikal ke atas pekerjanya. Dia didapati melakukan perbuatan menyentuh alat sulit mangsa dan mengeluarkan kata- kata berbaur seksual kepada mangsa.
Berdasarkan kes- kes yang dinyatakan seperti di atas menunjukkan bahawa persekitaran tempat kerja kini semakin membimbangkan. Namun demikian, tindakan mangsa gangguan seksual untuk melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa menunjukkan sesuatu yang membanggakan kerana mereka tidak membiarkan kes tersebut berlaku secara berterusan dan cuba untuk menanganinya dengan undang- undang yang digubal di Malaysia.
Undang- undang gangguan seksual
Menurut Ahmad Shamsul Abd Aziz (2005), gangguan seksual di Malaysia tidak ditakrifkan dengan jelas oleh mana- mana peruntukan undang- undang. Selain itu, akta- akta khusus yang berhubung dengan pekerja juga tidak memperuntukan sebarang peruntukan khas untuk gangguan seksual. Namun begitu, Menteri Sumber Manusia pada 19 September 1999, telah melancarkan Kod Amalan Untuk Mencegah Dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja (Kod Amalan) dengan menyatakan dalam Perkara 4, iaitu gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang tingkah laku berunsurkan seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Sehubungan itu, Perkara 5 dalam Kod Amalan turut menyatakan bahawa gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu gangguan seksual berbentuk ugutan dan gangguan seksual berbentuk ancaman kepada ketenteraman peribadi.
Gangguan seksual yang berbentuk ugutan atau Quid Quo Pro akan memberi kesan langsung kepada status pekerjaan seseorang. Menurut Ahmad Shamsul Abd Aziz dan Mumtaj Hassan (2002), Quid Quo Pro atau balas budi berlaku dalam keadaan seseorang yang berjawatan tinggi dan berkuasa untuk mengawal pekerja. Hal ini dapat diperjelaskan melalui kes gangguan seksual Mas Anum Samiran mendakwa bahawa majikannya menggunakan kuasa dalam memaksanya untuk melayani perbuatan seksual. Namun apabila ditolak, majikannya cuba menafikan faedah pekerjaan yang sepatutnya diterima oleh mangsa.
Manakala, gangguan seksual berbentuk ancaman kepada ketenteraman peribadi pula adalah tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, penghinaan atau ugutan dan tidak berkait dengan faedah- faedah pekerjaan. Ia dapat diperjelaskan dengan gambaran kes kelima iaitu mangsa kes tersebut mengalami gangguan seksual oleh rakan sekerja. Tingkah laku tersebut menimbulkan suasana tidak tenteram kepada mangsa yang mengalaminya.
Kod Amalan ini juga mengandungi garis panduan berkaitan dengan penubuhan pembentukan dan pelaksanaan mekanisme dalam menangani masalah gangguan seksual di persekitaran tempat kerja dan bertujuan untuk melindungi maruah diri pekerja- pekerja tanpa mengira jantina. Kod Amalan ini dapat membantu dalam memastikan perlaksanaan dasar dan amalan- amalan yang baik dalam memastikan suasana kerja selamat dan sihat.
Kesan negatif gangguan seksual
Gangguan seksual yang berlaku dalam bidang pekerjaan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Hal ini kerana gangguan seksual ini mampu memberi kesan yang serius kepada individu dan organisasi. Kesan negatif yang dialami oleh mangsa gangguan seksual boleh dilihat dari segi gangguan psikologi, gangguan fisiologi dan gangguan kerjaya. Manakala, kesan negatif yang akan dihadapi oleh organisasi disebabkan masalah gangguan seksual ialah imej dan kredibiliti organisasi terjejas, kos melatih pegawai baru meningkat dan produktiviti menurun.
Kesan gangguan seksual kepada mangsa dapat dilihat dari segi gangguan psikologi. Mangsa akan mengalami ketidakstabilan emosi iaitu perasaan tertekan, marah, bimbang dan sugul. Tambahan lagi, Perasaan aib dan malu untuk berhadapan dengan orang di sekelilingnya membuatkan mereka semakin tertekan. Oleh itu, mangsa akan cuba menjauhkan diri dari sebarang pergaulan dan menyendiri. Menurut Ishak Mad Shah & Lai Lee Ching (2001), gangguan seksual merupakan satu penghinaan terhadap mereka dan menempatkan mereka sebagai golongan kelas kedua di tempat kerja. Dengan itu, mangsa berasa rendah diri, mudah menangis, tidak berharga dan tidak layak untuk bergaul dengan rakan- rakan sepejabatnya.
Seterusnya, kesan yang akan dihadapi oleh mangsa juga dapat dilihat dari segi fisiologi iaitu mangsa gangguan seksual akan mengalami masalah kesihatan seperti sakit kepala, gangguan tidur, hilang selera makan ataupun berat badan sering berubah. Hal ini kerana mangsa berasa terganggu dengan apa yang berlaku ke atas dirinya sehingga ia sentiasa memikirkan perkara tersebut secara berlebihan. Menurut Jeffica Jaihon (2011), gangguan yang dirasai secara berterusan membuatkan pekerja sentiasa merasa terganggu walaupun saat ia bersendirian, kebimbangan sebegini akan membuatkan selera makan mangsa semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan kesihatan mangsa.
Gangguan seksual yang berlaku khususnya di tempat kerja memberi kesan kepada kerjaya mangsa. Mangsa berasa tidak bersemangat untuk meneruskan kerja- kerjanya kerana mereka tidak mahu berhadapan dengan si pengganggu yang mungkin terdiri daripada rakan sekerja ataupun majikan. Hal ini juga menyebabkan mangsa tidak memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja sehingga menunjukan prestasi dan produktiviti yang semakin tidak memuaskan. Menurut Rohani Abdul Rahim (2000), gangguan seksual memberi kesan kepada kepuasan kerja, penilaian kerja, perlaksanaan kerja yang semakin berkurangan disebabkan tekanan, tidak hadir untuk bekerja, tidak mahu bekerja dan berpindah kerja. Hal ini jelas menunjukkan bahawa gangguan seksual memberi kesan kepada motivasi mangsa sebagai seorang pekerja.
Organisasi turut mengalami kesan negatif akibat daripada masalah gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja. Kesannya ialah imej dan kredibiliti organisasi terjejas. Gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja boleh menjejaskan imej dan kredibiliti. Sebagai contoh, sekiranya gangguan seksual tersebut berlaku di dalam syarikat yang terkenal, berita mengenai isu gangguan seksual tersebut akan menyebabkan nama baik syarikat tercemar apabila diketahui umum. Hal ini juga sekaligus menjejaskan kredibiliti syarikat kerana isu tersebut menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak menjaga pekerjanya dengan baik sehingga menyebabkan terdapat perbuatan yang tidak berintegriti yang berlaku di dalam syarikat.
Seterusnya, Pihak organisasi akan mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk melatih pegawai baru. Hal ini kerana kebanyakan mangsa gangguan seksual mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Keputusan ini memberi kesan kepada organisasi kerana terpaksa mengambil pekerja baru bagi mengisi kekosongan. Tambahan pula, pengambilan pekerja baru melibatkan pengeluaran kos yang tinggi dalam melatih pekerja tersebut. Oleh itu, organisasi akan mengalami kerugian sekiranya mangsa yang berhenti kerja tersebut merupakan pekerja yang berpengalaman dan berpotensi dalam memajukan syarikat.
Kesan seterusnya ialah pihak organisasi akan mengalami masalah dengan produktiviti pekerja. Hal ini kerana mangsa gangguan seksual mengalami gangguan perasaan sehingga menyukarkan mereka untuk memberi tumpuan dalam pekerjaan dan seterusnya produktiviti kerja mereka merosot. Ia juga menyebabkan berlakunya masalah displin yang lain seperti masalah ketidakhadiran. Mangsa gangguan seksual ini berkemungkinan akan mengambil cuti yang panjang atau mangsa akan sering ponteng kerja bagi tujuan untuk mengelak daripada bertembung dengan si penganggu. Oleh itu, secara tidak langsung akan menyebabkan produktiviti menurun dan merugikan syarikat.
Cadangan
Terdapat beberapa cadangan yang dapat membantu menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja. Pertama, setiap organisasi hendaklah mengadakan satu seminar khas yang berkaitan dengan isu gangguan seksual bagi memberi serba pendedahan kepada pekerja mengenai masalah tersebut. Hal ini kerana segelintir mangsa yang mengalami gangguan seksual gagal melabelkan tingkah laku tersebut sebagai gangguan seksual kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan tentang gangguan seksual. Menurut Azizi Yahaya, Jamaluddin Ramli & Yusof Boon (2004), menyatakan bahawa langkah mengadakan seminar amat sesuai dilaksanakan terutamanya kepada pekerja kilang yang berkerja mengikut syif kerana mereka amat mudah terdedah dengan masalah ini di tempat kerja.
Kerajaan juga perlu menggubal undang- undang yang khusus berkaitan dengan gangguan seksual. Hal ini kerana di negara kita masih belum ada undang- undang khusus mengenai masalah tersebut. Ketiadaan undang- undang yang khusus mengenai gangguan seksual memberi peluang kepada penganggu untuk terus melakukan gangguan seksual kerana tidak takut. Tambahan pula, ia akan menimbulkan masalah kepada mangsa untuk membuat laporan kerana tiada prosedur yang jelas untuk membuat aduan. Oleh itu, dengan mewujudkan undang- undang yang khusus berkaitan gangguan seksual akan memudahkan masalah gangguan seksual tersebut diadili dengan tegas.
Pendidikan juga merupakan satu kaedah yang terbaik memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman setiap individu terhadap masalah gangguan seksual. Kebanyakan negara maju telah memperkenalkan pendidikan seks bagi mendedahkan pelbagai isu bagi menimbulkan kesedaran kepada generasi muda mengenai gangguan seksual seperti diskriminasi seksual, hak asasi wanita, nilai-nilai baik dalam hubungan antara lelaki dan wanita, pencabulan dan penderaan seksual, dan sebagainya. Justeru itu, sekolah sebagai organisasi sosial perlu menyediakan pendidikan seks ini supaya dapat menyedarkan masyarakat khususnya golongan remaja mengambil tindakan pencegahan masalah gangguan seksual.
No comments:
Post a Comment