Penglibatan siswi dalam sukan
1.0 Pengenalan
Menurut Noresah Bt Baharom (2010), sukan boleh ditakrifkan sebagai segala jenis latihan gerakan badan dan permainan yang memerlukan tenaga dan ketangkasan. Di Malaysia, pihak kerajaan telah membuka banyak peluang kepada kaum wanita bagi melibatkan diri dalam sukan terutama bagi penuntut wanita di universiti. Contohnya, di peringkat universiti turut menggalakkan pelajar yang aktif bersukan untuk mewakili universiti ke kejohanan sukan seperti Kejohana Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperkenalkan Sukan Wanita Kebangsaan pada tahun 2005 yang bertujuan untuk memupuk semangat motivasi dan menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti sukan. Penubuhan Sukan Wanita Kebangsaan ini dilancarkan bagi menangani masalah kekurangan penglibatan wanita dalam aktiviti kesukanan. Oleh itu, dengan adanya Sukan Wanita Kebangsaan dan juga MASUM ianya dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sukan.
Terdapat pelbagai jenis aktivti sukan yang boleh diceburi oleh golongan wanita seperti berenang, olahraga, futsal, tenis dan juga badminton. Aktiviti- aktiviti sukan tersebut menberi banyak manfaat kepada setiap individu dari pelbagai aspek terutamanya kesihatan fizikal dan juga mental. Malahan, sukan dijadikan sebagai instrumen untuk mencapai pelbagai tujuan khususnya kepada diri seseorang individu. Berdasarkan jurnal yang saya kaji, terdapat beberapa faktor yang mendorong penglibatan siswi di dalam sukan seperti minat dan sikap ingin mencuba sukan baru, menonjolkan bakat dan potensi, kewangan dan ganjaran, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, dan mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan. Selain itu, saya juga mengulas mengenai faedah- faedah yang diperoleh apabila menyertai aktivti sukan seperti meningkatkan displin diri, pengurusan masa yang baik, membentuk fikiran yang positif dan memupuk perasaan perpaduan dan juga langkah bagi menggalakkan penglibatan siswi dalam sukan seperti dasar kerajaan, peranan ibu bapa, penyediaan kemudahan sukan dan mengadakan kempen.
2.0 Faktor- faktor penglibatan siswi di dalam sukan wanita
Penglibatan siswi di dalam sukan wanita adalah disebabkan oleh faktor minat dan sikap ingin mencuba sesuatu sukan baru. Ia menjadi pendorong kepada individu untuk bersukan. Berdasarkan kajian jurnal ini, seramai 26% mengakui bahawa penglibatan wanita dalam sukan wanita adalah kerana minat yang mendalam terhadap sukan. Selain itu, kepelbagaian yang ada dalam sukan itu sendiri telah menjadi penarik kepada wanita untuk mengaktifkan diri dengan mencuba sukan baru. Dengan itu, mereka akan berasa seronok dan juga dapat memenuhi kepuasan mereka. Menurut Yahya Buntat & Norervina (2005), seseorang individu yang minat terhadap sesuatu perkara adalah daripada dorongan secara intrinsik yang wujud dalam jiwa setiap individu itu sendiri. Malahan, seseorang yang bermotivasikan intrinsik ini cenderung melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti tanpa mengharapkan sebarang hadiah dan juga paksaan daripada mana- mana pihak.
Seterusnya,penglibatan siswi di dalam sukan wanita juga disebabkan oleh faktor menonjolkan bakat dan potensi. Berdasarkan kajian ini, seramai 13% bersetuju dengan faktor tersebut menyebabkan wanita menceburi diri dalam sukan. Seseorang individu yang yakin akan kebolehan yang ada pada dirinya akan memngambil peluang untuk menyertai aktiviti sukan. Tambahan, mereka ini mempunyai cita- cita yang tinggi bagi meningkatkan prestasi ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, penglibatan ini juga secara tidak langsung mampu menggilap bakat dan potensi yang ada bagi meningkatkan lagi pencapaian diri individu dalam sukan yang diceburinya. Elemen ini juga penting dalam melahirkan atlet wanita yang berkualiti dan seterusnya menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan.
Kewangan ataupun ganjaran juga menjadi faktor penarik kepada wanita terutamanya bagi yang sedang belajar di universiti. Menurut Mohd Samri & Anizu (2006), sukan boleh menjamin masa depan seperti mendapatkan pekerjaan, biasiswa, dan kenaikan pangkat. Ganjaran yang diperolehi dalam bentuk wang mampu membantu meringankan beban kewangan mereka. Selain itu, Ganjaran ini juga dapat membantu membangunkan semangat mereka untuk terus giat aktif dalam aktiviti sukan.
Selain itu, penyertaan individu dalam sukan boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada ke tahap yang lebih baik. Menurut Noresah Bt Baharom (2010), kemahiran boleh ditakrifkan sebagai kecekapan dan kepandaian melakukan sesuatu. Dengan adanya ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang sukan, kita dapat mengetahui dan menggunakan ilmu sukan dari segi teknik, kemahiran pergerakan dan juga taktik. Selain itu, pengalaman yang diperolehi semasa pertandingan juga mampu membantu kita dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana semasa pertandingan kita akan melihat taktik, teknik dan kemahiran yang ada pada pihak lawan. Melalui pengalaman tersebut, kita boleh meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan dengan melakukan penambahbaikan dalam setiap pergerakan untuk sesuatu permainan.
Faktor penglibatan siswi dalam sukan wanita adalah disebabkan mereka ingin mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan. Bersukan merupakan satu aktiviti yang boleh mengisi masa lapang mereka bersama- sama dengan rakan- rakan. Bagi wanita, mengisi masa lapang dengan sukan dapat membantu mereka meningkatkan kualiti kehidupan mereka secara sihat. Selain itu, penglibatan mereka dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada membazir waktu daripada melakukan sebarang aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada diri dan juga menimbulkan masalah sosial yang akan memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Manakala, penglibatan wanita dalam sukan adalah kerana ingin mengekalkan kesihatan badan dan juga kecantikan tubuh badan. Dengan bersukan juga, badan akan sihat dan melahirkan minda yang aktif, menghilangkan rasa malas, dan juga menghindarkan sebarang pesakit dalam badan serta membawa kepada kecemerlangan bagi seseorang pelajar. Malahan, berdasarkan kajian Zaini Arshad (2003), beliau memetik penyataan Byrd (1982), yang menyatakan bahawa penyertaan sukan secara aktif dapat mengelak atau melewatkan serangan pelbagai penyakit.
3.0 Faedah- faedah melibatkan diri dalam sukan
Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan sangat berfaedah kepada pelajar. Mahasiswi yang melibatkan diri dalam sukan akan mendapat manfaat iaitu sukan dapat meningkatkan disiplin diri seseorang individu. Individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan perlu mematuhi arahan, menepati masa, dan sentiasa berlatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin pelajar tersebut bukan sahaja dalam sukan tetapi dalam pelajaran.
Seterusnya, seseorang pelajar yang menyertai sukan juga dapat memperolehi faedah dari segi pengurusan masa yang baik. Pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan teratur. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang pelajar yang menyertai pasukan universiti perlu mempunyai jadual latihan sukan dan jadual belajar yang seimbang. Oleh itu, seseorang pelajar yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.
Selain itu, sukan juga dapat membentuk pelajar yang berfikiran positif. Menurut Yahaya Buntat & Norervina Jailani (2005), mengatakan bahawa melalui kegiatan dan aktiviti bersukan sikap dan sifat sosial yang positif seseorang pelajar dan individu boleh di lihat melalui latih tubi dan permainan. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pinggat emas dalam sukan Olimpik. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan pelajar yang berfikiran positif.
Sukan juga dikatakan berupaya untuk memupuk perasaan perpaduan sesama rakyat yang berbilang bangsa itu. Interaksi sesama individu akan berlaku kerana sukan memerlukan setiap ahli untuk saling bekerjasama melaksanakan aktiviti tersebut. Menurut Zaini Arshad (2003), sukan dapat membina dan mengukuhkan perhubungan sosial dikalangan ahli komuniti kerana instrumen palling mudah dan berkesan untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara berterusan antara satu sama lain. Maka, perpaduan antara kaum boleh dicapai menerusi penglibatan setiap ahli masyarakat kita dalam aktiviti sukan,. Tambahan pula, kita akan dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira umur, bangsa mahupun agama. Contohnya, ketika kita menyertai aktivti sukan di pusat sukan, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
4.0 Langkah menggalakkan penglibatan wanita dalam sukan
Penglibatan wanita dalam sukan dilihat kurang menyerlah. Oleh itu, bagi menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam sukan. Terdapat beberapa inisiatif yang boleh digunakan bagi menarik wanita untuk menyertai sukan. Langkah- langkah untuk menggalakkan penglibatan wanita dalam sukan ialah Dasar kerajaan iaitu dasar 1Murid 1Sukan. Berdasarkan petikan akhbar, Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin menyatakan bahawa dasar ini perlu bagi memupuk minat terhadap bidang sukan tersebut di kalangan kanak-kanak. Bak kata pepatah “meluntur buluh biarlah dari rebungnya” iaitu kalau hendak mendidik seseorang hendaklah ketika ia masih muda supaya mudah diasuh. Oleh itu, penglibatan awal kanak- kanak khususnya wanita, dalam bidang sukan amat di digalakkan supaya mereka mengetahui jenis- jenis sukan yang ada dan memilih sukan yang mereka gemari. Dasar ini juga dapat membantu untuk menerapkan semangat kesukanan di kalangan mereka bagi menunjukkan bakat dan potensi masing- masing.
Selain itu, ibu bapa perlu memberi sokongan moral dengan menghantar anak- anak mereka ke tempat latihan ataupun menemani mereka semasa sedang menjalankan latihan di padang. Dengan cara tersebut, anak- anak mereka khususnya perempuan akan lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan. Di samping itu, Ibu bapa juga boleh memberi galakkan dengan cara membelikan anak- anak mereka peralatan sukan. Peralatan sukan yang lengkap dan sesuai dapat memberi semangat dan mengembangkan minat mereka untuk menyertai bidang sukan tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan ibu bapa penting bagi mengalakkan penyertaan anak- anak dalam bidang sukan.
Seterusnya, penyediaan kemudahan sukan yang lengkap juga memainkan peranan yang penting dalam menarik minat wanita untuk menyertai sukan. Contohnya, kemudahan- kemudahan sukan seperti swimming pool, gelanggang tennis dan gelangang bola jaring. Dengan adanya kemudahan- kemudahan tersebut di tempat- tempat yang mudah dikunjungi membolehkan golongan wanita menggunakannya pada bila- bila masa. Tambahan pula, prasarana yang lengkap membantu mereka untuk berlatih dalam keadaan yang selesa dan efektif.
Langkah seterusnya yang boleh diambil bagi menggalakan penglibatan wanita dalam sukan adalah dengan mengadakan kempen. Kempen mengenai kepentingan sukan dan faedah sukan boleh didedahkan khususnya kepada golongan wanita bagi menyedarkan mereka bahawa sukan mampu meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan dan juga mental. Sehubungan itu, pihak media perlu memberi kerjasama dengan menyiarkan program televisyen mengenai sukan wanita. Hal ini secara tidak langsung boeleh menarik minat mereka untuk mencuba sukan tersebut.
5.0 Penutup
Kesimpulannya, sukan merupakan aktiviti yang memberi manfaat kepada semua golongan sama ada wanita mahupun lelaki. Dengan bersukan, kita dapat menyihatkan tubuh badan, mengunakan masa dengan baik dan juga berkenalan dengan semua kaum. Selain itu, pelbagai pihak seperti pihak kerajaan, swasta dan juga badan NGO boleh berkerjasama dalam membantu menyediakan lebih banyak lagi kemudahan bersukan untuk kegunaan awam. Dalam masa yang sama, pihak media massa juga turut memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai wanita untuk menyertai aktivti sukan. Contohnya dengan mengadakan kempen. Selain itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan juga boleh menawarkan lebih banyak peluang kepada mereka yang berminat dalam sesuatu aktiviti sukan untuk menceburinya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi bagi menyerlahkan bakat mereka seperti atlit puteri renang iaitu Nurul Huda dan Sylvia Ng iaitu atlit sukan badminton.
No comments:
Post a Comment