About Me

My photo
Hello, they call unie !

Monday, 4 May 2015

Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC)

Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC)
Luar Bandar atau desa merupakan satu kawasan yang kurang membangun dan tidak maju kerana kawasan tersebut tidak mempunyai infrastruktur yang lengkap sehingga menyebabkan penduduk di luar bandar tidak menerima arus permodenan seperti di Bandar. Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, kawasan desa boleh ditakrifkan sebagai kawasan selain daripada kawasan Bandar. Ia merupakan penempatan kecil yang kurang daripada 10 000 orang penduduk dan bercirikan aktiviti pertanian. Bagi menjadikan kawasan luar bandar sebagai satu kawasan yang mempunyai keunikan tersendiri, kerajaan menyediakan pembangunan kawasan luar Bandar bagi memenuhi keperluan penduduk. Pembangunan luar bandar ini bertujuan untuk membangunkan dan memajukan kawasan luar bandar agar dapat mengurangkan masalah kemiskinan dan kemunduran kawasan tersebut.

            Kewujudan program Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak merupakan salah satu fasa pembangunan luar bandar di negara ini bagi memperhebatkan pembangunan luar bandar. Pelaksanaan RTC ini dilaksanakan secara komprehensif seiring dengan wawasan Perdana Menteri bagi mendahulukan kepentingan rakyat di luar bandar. Oleh itu, RTC merupakan satu agenda kerajaan dalam membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk luar bandar yang merangkumi kesemua aspek, dimana bukan sahaja tertumpu kepada usaha untuk menyediakan kemudahan insfrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan juga kemudahan jalan kampung sahaja, namun turut membantu penduduk luar bandar bagi meningkatkan ekonomi dan seterusnya pendapatan mereka agar tidak terjebak dalam kemiskinan yang menyelubungi penduduk luar bandar.

            Menurut Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) merupakan satu tempat yang melaksanakan inisiatif-inisiatif RTC secara bersepadu yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4). Di bawah pelaksanaan program-program di RTC, terdapat beberapa inisiatif yang disediakan dalam RTC seperti  latihan kemahiran kepada penduduk luar bandar,  kios informasi 1malaysia,  pertanian bernilai tinggi dan pemprosesan produk agro-makanan.

            Bagi inisiatif yang pertama iaitu latihan kemahiran kepada penduduk luar Bandar. KKLW membantu penduduk luar bandar dengan menyediakan peluang latihan secara berterusan kepada masyarakat luar bandar di pusat-pusat RTC. Latihan ini bertujuan menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup. Antara jenis-jenis latihan yang ditawarkan seperti keusahawanan, pembungkusan dan penjenamaan, serta pengurusan makanan ternakan. Seterusnya, kios informasi 1Malaysia yang merupakan pusat maklumat setempat yang menggabungkan informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian atau agensi kerajaan. Terdapat 5 kios informasi yang ditempatkan di RTC dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti Kiosk KKLW, Kiosk Jobs Malaysia, Kiosk Pusat Pembangunan Perniagaan Agri-Makanan  dan Kiosk KPDNKK serta Kiosk MyEG bagi kemudahan kepada masyarakat luar Bandar.
            Inisiatif yang ketiga ialah pertanian bernilai tinggi. Terdapat 3 projek utama pertanian bernilai tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan iaitu projek penghasilan sayur-sayuran premium di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), projek penghasilan produk tenusu yang selamat dan berkualiti dan projek ternakan arowana. Projek-projek pertanian bernilai tinggi ini dilaksanakan bagi memastikan hasil industri pertanian mencukupi untuk kegunaan rakyat, meningkatkan pendapatan golongan yang terlibat terutamanya pengusaha pertanian luar bandar. Selain itu, Pemprosesan produk agro makanan pula merupakan insiatif yang bertujuan membangunkan usahawan di bidang pemprosesan makanan yang menekankan pembangunan dan peningkatan kualiti produk bagi pasaran tempatan dan global. Penekanan kepada aktiviti nilai tambah dan membangunkan usahawan industri asas tani nasional yang bersepadu kearah peningkatan pendapatan masyarakat tani. Antara tumpuan produk pemprosesan agro-makanan di Perak seperti kuih tradisional, minyak kelapa dara dan jeruk buah-buahan.


            Kesimpulannya, jelaslah bahawa inisiatif- inisiatif yang dijalankan dibawah pelaksanaan RTC banyak menyumbang manfaat kepada penduduk luar Bandar kerana RTC menyediakan pelbagai peluang kepada masyarakat di luar bandar bagi meningkat taraf hidup dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing. 

No comments:

Post a Comment